Throwback Rol Filem Semasa PPP Terakhir

Alhamdulillah. Kita dah lama memasuki fasa endemik dan sekarang pemakaian pelitup separuh muka pun dah beberapa hari telah dilonggarkan. Ekonomi pun semakin memulih dan semua kita kembali sibuk bangkit daripada kemalaran akibat Covid19 tempoh hari. 

Sepanjang tempoh pandemik, bermacam ragam bermacam cara kita nak menghilangkan kebuntuan akibat daripada normalisasi cara hidup yang baru. Dalam masa yang sama ramai antara kita telah menemui kemahiran dan bakat yang terpendam yang selama ini diselimuti dengan kesibukan urusan harian lain. 


Sekarang, pada hari ini ada di kalangan kita yang bangun dari tidur tanpa orang yang tersayang kerana direnggut wabak yang menggoncang dunia. Sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah dan mendoakan mereka agar ditempatkan bersama para solehin. Hakikatnya ramai diantara kita yang dapat menarik nafas lega kerana dapat menyambung mencari nafkah untuk diri dan keluarga tanpa kekangan yang pelik-pelik. 

Syukur. Dalam kekalutan, ada kebaikannya. 

Entri kali ini, saya hanya ingin kongsikan beberapa keping gambar yang sempat diambil menggunakan kamera lama, Yashica MG-1 dan filem negatif Kodak Colorplus 200 semasa PPP dan tempoh PKP terakhir tempoh hari.  Gambar-gambar ini diambil di kampung halaman, Kedai Buloh, Kota Bharu, Kelantan, di rumah saya di Subang dan juga quick snap semasa ziarah kawan di Melaka. 







Semasa sempadan negeri dibuka, kami tak lepaskan peluang untuk pulang ke kampung. Gambar-gambar di atas ini saya ambil semasa melawat Pantai Mek Mas bersama keluarga kecil kami, adik-adik, ipar dan anak-anak saudara. 

Sejujurnya, saya dalam hubungan love-hate dengan kamera Yashica MG-1 ni. Love tu sebab kamera ni merupakan kamera yang ayah beli dan guna sepanjang tempoh saya membesar, saya ambil dan hantar baiki. Unsur nostalgia yang ada pada kamera ini sendiri sangat banyak. 

Yang bagi downside adalah berat kamera, grain yang kadang-kadang uncontrollable dan kelambatan untuk fokus membuatkan kamera ini lebih banyak tersimpan di dalam dry box. Apa-apa pun, hasil gambar daripada kamera ini merupakan halwa mata bagi saya walau macam mana pun gambar yang keluar nanti. 







Gambar-gambar atas ni pula semasa kami ke Melaka. Seharian di Melaka memang tak akan cukup. Memang kena pergi lagi. Kalau ada pembaca dari Melaka yang boleh syorkan tempat-tempat menarik selain daripada yang biasa orang pergi, bolehlah komen untuk kami senaraikan untuk lawatan kembali nanti. 



Gambar-gambar atas ni pula diambil pada tahun lepas sekitar hari dan bulan yang sama sewaktu entri ini ditulis. Kebanyakan harinya mendung, kadang-kadang sahaja cerah. Saya tak tahu apa yang orang lain rasa, tapi saya suka cuaca macam ni. Teringat kenangan zaman kecil di kampung. 

Petang-petang hujan bila menghampiri musim tengkujuh. Kebiasaannya hujan akan reda dalam pukul 6 lebih. Waktu itulah arwah Chek (Atuk) akan mengayuh basikal mencari kudapan. Paling kerap, roti canai cicah susu pekat. Kalau tak ada pun, sekitar musim tengkujuh, bekalan ubi-ubi termasuk ubi badak, kayu, keledek atau kami panggil stelo dan juga ubi keling sentiasa ada. Direbus dengan sedikit garam dan dimakan disamping menghirup kopi cap dua badak manis pekat. Ditambah pula dengan bunyian titisan gerimis menyapa atap zink, damai. 

Namun, itu semua sekadar kenangan yang tak mungkin akan kembali lagi. Untungnya anak-anak zaman sekarang kerana rakaman semasa membesar senang disimpan sama ada dalam bentuk video atau gambar pegun. Pastinya akan membuahkan senyuman bila ditonton kembali nanti. 

Setakat ini sahaja entri kali ini. Semoga kenangan yang indah kita sematkan, yang buruk kita hindarkan atau jadikan pedoman. 

Saya doakan kalian semua sejahtera dan bahagia selalu. 

Write a comment