Di Sebalik Jatuhnya Hukuman Najib & Rosmah

Beberapa hari lepas, Najib didapati bersalah di atas beberapa pertuduhan. Hari ini pula Rosmah didapati bersalah. Maka pelbagai reaksi marhaen dapat kita lihat melalui komentar yang diutarakan di media-media sosial. Ada melompat kegembiraan, ada menangis sugul, ada yang marah dengan keputusan mahkamah itu.




Entri kali ini saya taknak mengulas lanjut kesalahan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap Najib dan Rosmah. Semuanya kita tahu. Bukan tahu kesalahan mereka, namun kita tahu dunia politik sememangnya tidak seperti mendayung perahu di tasik yang tenang. Ia lebih kepada mendayung kolek di samudera ganas dan berteman jerung-jerung yang sentiasa lapar. Bak kata orang putih... you play stupid game, you win stupid prize.

Jatuhnya hukuman ke atas mereka berdua sebenarnya lebih kepada pengajaran dan teguran dari Pencipta kepada kita rakyat marhaen. Kesalahan dan hukuman mereka merupakan bahagian mereka. Tetapi kita sebagai pemerhati harusnya pelajari sesuatu dari semua kejadian ini. 

Ini menunjukkan kita betapa peri pentingnya kita sebaga hamba, menjaga amanah yang dikurniakan. Tidak kira sekecil mana atau sebesar mana, pasti akan dipersoalkan. Kalau tidak di dunia yang fana, di akhirat nanti pasti akan dipersoalkan. Baik buruk kita dalam menjaga amanah, pasti akan mendapat balasan setimpalnya. 

Ayah selalu berpesan. Hidup biar berpada, ambil setakat yang perlu sahaja secara haq bukan secara batil. Dari kecil lagi kita dah mendengar dan membaca cerita teladan seekor anjing yang tamak, akhirnya tewas dengan bayangannya sendiri. 

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman
Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada, ditangkap hilang
                - Antara Dua Cinta (The Zikr, Raihan, Nazrey Johani)

Begitulah diumpamakan dunia. Semakin dikejar, semakin menjauh. Noktahnya bilamana nyawa kita terpisah dari jasad. Pada waktu itu, sesalan langsung tidak berguna. 

Sebagai marhaen yang mempunyai kuasa memilih juga, kita seharusnya lebih berhati-hati dan peka di saat kita menurunkan tanda mengundi wakil kita. Wakil dalam menguatkan suara kerdil kita di dalam dewan yang mulia. Wakil yang menyuarakan keperluan kita sebagai warga yang hina. Zaman sekarang ni, kita boleh dan dapat tengok dengan mata kepala kita sendiri bagaimana wakil-wakil yang kita pilih berperangai di kalangan marhaen, di dewan yang mulia dan di kalangan mereka-mereka. 

Jangan pula kita menutup mata, memekakkan telinga dan membisu seribu bahasa sehinggakan tidak dapat membezakan mana yang kaca dan mana yang permata. Mereka bekerja untuk kita dan mereka menggendong amanah raya amanah mega. 

Sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kita sedar dan renung kembali akan dunia yang bakal kita tinggalkan untuk anak cucu kita nanti pula. Kalau kita sekarangya sengsara dan derita, tergamakkah akan datang membiarkan anak cucu kita pula hina?

Tindakan dan perbuatan kita pada saat ini buahnya akan dituai anak cucu kita kedepan harinya. Semoga pejamnya mata kita nanti meninggalkan sebaik-baik nama yang bergema di dunia dan di syurga sana. Semoga peninggalan kita di dunia diredhai Pencipta. 

Kalau bukan kita, tiada siapa-siapa yang akan membela. 

 

Ulasan

(1)
  1. Jadi insaf bila baca penulisan KA ni. Peringatan buat diri saya sendiri jugak.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.