Biskut Cip Coklat dan Oven Kecil Hadiah Kahwin

Semua dah mula membuat kuih raya ke? 

Kalau ada rancangan untuk membuat kuih raya, saya rasa lebih baik mula beli ramuannya sekarang. 

Rak bahan-bahan untuk membuat kuih dah banyak yang kosong siang tadi waktu saya ke kedai. Super 7, Speedmart, Kedai-kedai runcit lain pun banyak dah kehabisan bahan-bahan lebih-lebih lagi esen vanilla cap bintang ni.

Mungkin kedai bahan membuat kek masih ada lagi. Saya tak terjah pula tadi. Teringat masa puasa awal-awal PKP tempoh hari. Semua kedai bahan membuat kek penuh beratur orang. Sepanjang blok bangunan barisan orang nak membeli. Kali ni saya tengok dah tak ada berbaris. Pelanggan pun dah boleh masuk mengikut had yang dibenarkan pemunya premis. 

Tahun sudah percubaan membuat semperit... jadi rancangannya. Cuma semperit yang tak berapa nak menjadi sebab acuan tekan tu tak jumpa. Yang jumpa hanya acuan kon, yang mana kami laki bini tak pernah guna. Sudahnya bentuk pakai jari dan sudu sehinggakan tetamu pun keliru kuih apa yang kami hidang. 

Tahun ni isteri nak mencuba buat biskut mentega cip coklat pula. Dia ikut resepi dalam internet katanya. Nampak jumlah doh tak ada lah banyak mana. 
Bila mula bakar, baru terasa banyak dan lambatnya nak habiskan membakar. Mana taknya, dengan oven kecil hadiah kahwin ni cuma boleh memuatkan sekitar 12 biji untuk dulang panjang dan 9 biji untuk dulang segi empat sama kami yang kecil. Satu pusingan pembakaran memerlukan 22 minit. 

Dahlah kena set pemasa manual pakai fon sebabkan pemasa oven dah rosak. Pemasa microwave pun sama dek kerana Andika suka senyap-senyap main butang pemasa dia. Langsung longgar spring. 


Sekarang ni, isteri sedang tidurkan Andika dan kakak pun turut tumpang sekaki... ngantuk katanya. 

Saya tinggal seorang terkebil-kebil menunggu pemasa berbunyi dan bergilir-gilir memuatkan dulang dengan doh biskut. Sedap juga rupanya biskut buat sendiri ni. Saya dah macam anak kecil, biskut tak sempat sejuk elok saya dah cilok sebiji sebiji. Harapnya bentara guru tak perasan la. 

Nampaknya kena hadiahkan oven dan microwave yang besar sikit la untuk si dia nanti. Muat sebiji kek paun pun okay lah kan. Silap-silap boleh meniaga kuih kita tahun depan. 

Berjasa betul oven kecil ni untuk kami sekeluarga. Dari bakar kuih ke bakar lauk, semuanya pakai dia je. 

Menghampiri 1 Syawal ni membuatkan saya teringat kenangan zaman kecil-kecil. Mak dan mak-mak saudara serta sepupu-sepupu berkumpul di rumah nenek. Bergilir-gilir menggunakan oven bulat besar untuk membakar biskut dan kek. Paling teringat adalah kek span oren yang guna kulit oren tu. Wangi semerbak satu rumah. 

Sambil membakar sambil sayup-sayup lagu raya keluar di corong radio. Kenangan yang sukar untuk dimimik kembali kerana ketiadaan sebahagian ahli keluarga dan kesibukan yang lainnya dengan urusan sendiri. 

Anda ada kenangan paling melekat menyambut datangnya Syawal?

Ulasan

(4)
  1. Haha, kenangan manis tentang kuih samperit yang unik bentuk nya. Biasa kalau kita yang buat kuih memang akan masuk mulut sendiri baru masuk balang

    BalasPadam
  2. buat sendiri puas hati, dapat banyak...freshly baked cookies mmg layan....

    BalasPadam
  3. every year x miss buat choc chip cookies ni.. this year pun..next week plan nak buat

    BalasPadam
  4. nak datang rayalah. nak rasa biskut cip hehee

    BalasPadam

Catat Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.