Bermulanya Kegilaan Filem 135mm


Dalam tahun 2014, selang masa beberapa minggu selepas KA membeli kereta sendiri pada umur yang agak lewat. Diikutkan lama juga KA ambil masa untuk mempertimbangkan keputusan KA mendapatkan kereta sendiri. Masa tu KA tengah galak mengikut kelab motor cross dan ada diantara kami yang sangat minat dengan fotografi dan kamera filem.

KA teringat yang KA pernah guna kamera filem ayah, Yashica MG-1 rangefinder dari tahun 1972 yang dikirim saudara jauh. Pada masa itu saudara kepada ayah KA bekerja di Singapura. Dengan harga beberapa ratus KA kira kamera itu bukan sesuatu yang murah. Ingatan terhadap kamera itu semakin kuat bila mengenangkan KA pernah guna sekali dalam tahun 2008 atau 2009. Hasilnya memang nostalgik.

Kualiti gambar kalau ikutkan biasa-biasa sahaja, tetapi kesan nostalgia dan berbekalkan lens dengan aperture 2.8 cukup memberikan kesan depth of field yang sedap dipandang. 

KA terus berkira-kira dan menghitung hari untuk balik ke kampung dan tengok balik keadaan kamera. Sewaktu sampai ke rumah mak ayah, KA terus menggeledah almari simpanan barang-barang lama KA dan ayah. Yashica MG-1 nyata masih ada. 

KA buka tempat muatan katrij filem. Sayangnya sudah banyak kesan karat akibat lama tidak digunakan. Kesan karat merebak dengan teruk pada bahagian muatan bateri. KA nekad mencuci setakat termampu pada malam itu juga. 

Esoknya seawal mungkin KA bergegas ke bandar Kota Bharu bersama sepupu sambil membawa kamera bersama. KA cadang hendak mencari filem untuk dicuba. Kelebihan kamera ini walaupun tanpa bateri, tetap boleh berfungsi selagi ada filem dalam tempat muatannya. Kebanyakan tenaga elektrik hanya digunakan untuk penunjuk dedahan cahaya sahaja.

Merata KA cari kedai gambar yang ada jual filem tetapi hanya satu kedai sahaja yang masih ada jual. Perlu diingat, sekitar tahun 2013 dan 2014, kamera digital telah lama menggantikan kamera filem. Sehinggakan jika KA mengeluarkan kamera Yashica dan tunjuk kepada tuan kedai pun dibilang mana ada orang pakai lagi kamera filem zaman ini. 

KA puas walaupun berjaya mendapatkan satu gulungan filem yang sudah tamat tempoh hampir setahun. Langsung KA cuba untuk mengambil gambar dengan Yashica itu. 

gambar pertama dari gulungan Kodak Colorplus 200 selepas beberapa tahun tidak bersentuh.

Sambil makan di salah satu warung nasi kukus bersebelahan dengan Padang Merdeka Kota Bharu atau orang Kelantan panggil Padang Bank (Mungkin kerana sebelah padang ini ada sebuah bangunan bank lama, Bank Kerapu) KA mula bermain dengan tombol kamera. 


Ktakk! Ktakk! Sambil membidik melalui view finder, KA mengetik butang pengatup. KA kira berjayalah KA ambil gambar. Walaupun dalam hati terdetik rasa was-was. Melihatkan dail bilangan bingkai yang tinggal bergerak seiring petikan jari KA, mungkin jadi.

Kedai hardware lama berdekatan Ridel Hotel

Persiaran dan medan selera belakang Ridel Hotel

KA tak sangka masih ada rumah terapung atau rumah bot dan pengkalan penambang bersebelahan
Tambatan Diraja

Salah satu bahagian bangunan Menara Tinjau

Lorong belakang di Kota Bharu

Gambar dinding sebelah luar kedai kopi Cina

Kalau diikutkan, gambar yang terhasil tidaklah dikategorikan sebagai mempunyai ketajaman yang baik. Yang membuatkan kamera ini dan kamera filem lainnya istimewa adalah kerana tona warna yang terhasil, kecacatan yang memberikan karekter, serta elemen kejutan terutama jika kita menggunakan filem yang dah tamat tempoh. Nanti dalam entri lain, KA akan kongsikan gambar dari penggunaan filem yang dah lama tamat tempoh.

Bawah ini KA kongsikan gambar yang menunjukkan depth of view yang terhasil menggunakan lensa tetap daripada Yashinon F2.8 45mm;

Gambar sepit baju di jemuran beranda rumah ayah

Merbah di dalam sangkar di rumah Mok (nenek sbelah mak) milik sepupu

Iman, kawan dari zaman belajar sehingga menjadi housemate di zaman bujang

Kalau perhatikan, beza fokus pada subjek menunjukkan depth of view yang boleh diterima. Setakat hari ini selepas di servis Uncle Wong di Jalan Petaling (baca HANTAR YASHICA MASUK WARD) KA sangat berpuas hati. Ramai juga kenalan yang mencadangkan supaya KA beli SLR filem macam FM1, AE1 dan seangkatan. Oleh kerana KA cuma tukang gambar picisan yang cuba menyampaikan cerita seharian dalam bentuk tulisan dan gambar, KA sukakan sistem kamera yang senang digunakan. 

Jika ditanya apa kamera filem yang KA inginkan, ternyata Yashica Electro 35 GSN menjadi idaman. Jika digital pula KA paling inginkan kamera digital kompak Ricoh GRiiiX dengan kepanjangan fokal 40mm sangat sesuai untuk KA mengambil gambar gaya street. 

Setakat ini saja perkingsian untuk kali ini. Banyak lagi kisah untuk setiap gulungan filem negatif yang KA gunakan. Semoga diberi kelapangan untuk KA menulis lagi. 

Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca.

Ulasan

(5)
  1. cantik hasilnya, walaupun lama banyak nostalginyanya....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Nak2 bila difikirkan kamera yang KA gunakan ni pernah digunakan ayah. Rasa macam melihat dunia dari sudut pandang ayah.

      Padam
  2. Gambar-gambar yang bakal menjadi sejarah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Harapnya begitu dan semoga sentiasa begitu. :)

      Padam
  3. lejen nih...masih ada yg jual filem & servis cuci gambar...suka tengok photo2 klasik mcm ni...ada karekter tersendiri..

    BalasPadam

Catat Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.