Terubuk Masin Goreng Garing

Antara juadah ringkas namun bisa menambat selera.

Dulu kami pernah menjamah nasi putih panas berkuah air masak. Lauknya pula cencaru kering yang mak dah goreng garing. Sedap. Terkadang bertambah-tambah makan kami adik beradik sambil mak mengulangi persoalan yang sama.

”Sedap dih?”

Sambil mulut dipenuhi rasa lemak manis hasil campuran kanji nasi dan saliva berserta rasa masin cencaru kering, kami adik beradik serentak menjawab “Mmm... sedak mok.”

Tadi, waktu kami suami isteri menyuapkan nasi berkuahkan tomyam kelmarin yang kami panaskan kembali bersama ikan terubuk masin yang Ain kirim dari kawan Borneonya... aku terlintas akan saat emak, adik dan aku menjamah nasi putih, kuah air masak, lauk cencaru masin. Betulkah apa yang kami makan itu sememangnya sedap? Atau sekadar placebo kesan dari suapan pertanyaan mak?

Mungkin jika saat itu aku menjamah makanan yang sama bersama orang lain, ingatan aku tidak sempat memerangkap pun peristiwa itu. Kerana kami makan bersama emak. Setiap kali aku makan apa-apa ikan masin atau kering aku langsung teringatkan peristiwa itu.

Sekarang, jika aku makan makanan yang sama... sudah tentu ada rencah tambah yang terbaharu. Kenangan.

Rencah yang tidak mungkin akan dapat aku beli di kedai. Aku jamin.

Sungguh aku rindu. Walau kami serba susah. Ya, aku tahu hidup kami tak ada lah melarat sampai tak cukup makan. Jika nak dibandingkan dengan keluarga lain di Kedai Buloh tu, masih ada yang lebih kekurangan.

Namun dibandingkan dengan apa yang kami ada sekarang, aku bersyukur.

Mak ayah tak putus bagi kami adik beradik pendidikan walaupun ada di kalangan adik beradik kami yang belajar sampai ijazah, diploma, sijil kemahiran dan juga sijil pelajaran Malaysia. Namun, puji bagi Tuhan. Apa yang adik beradik kami belajar, kami terapkan di dalam kehidupan.

Kita mesti ingat, masa lepas bukan penentu masa depan kita. Masa sekaranglah yang mencorak masa depan kita. Syukur dan terus bergerak.

Ulasan

(1)
  1. Memori yg buatkan makanan tu sedap. Lagipun air tangan ibu tu, penuh kasih sayang.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.