Mahu Kaya Jiwa

Dingin terasa bayu selepas musim tengkujuh lepas menerpa ke wajah. Bayu yang mencelah melalui bukaan dinding usang istana kecil seakan menguis lembut berulang kali cuba membuat si anak itu bangkit. Sinar mentari pagi yang melolosi lohong pada atap zink usang istana kecil itu menyimbahi wajah. Teguran alam itu tidak diendahkan oleh anak itu, malah ditempis dan di tariknya akan sarung batik jawa kembali menyelubungi batang tubuhnya.


Seketika sambil enak si anak terbuai nyaman dek mimpi, terlihat sebatang tubuh ibu muda menjinjing dua bungkus kecil beg plastik. Sambil beg plastik diletak perlahan, si ibu terus menyeka keringat pada wajahnya. Lantas diseru manja si anak bangkit dari lena dan datang menjamah sarapan yang dibawa balik. "Along, bangun... Makan. Mak ada bawakan nasi berlauk dan pulut kelapa ni". Seruan ibu disambut oleh sebatang tubuh anak kecil barangkali seusia empat tahun lebih berjalan dengan tangan yang sebelah memeluk erat sebiji bantal lembik yang usang dan sebelah tangan lagi sedang menggosok-gosok mata yang masih mengantuk."Adik, pergi kejut Along datang makan nasi ni". Anak kecil tadi tanpa membantah terus menuju ke suatu sudut. Ditariknya tangan si alongnya tadi.

Along bingkas bangun, sedikit mencebik sambil menjeling adiknya yang sedang tersengih. Perlahan-lahan dia berjalan sehingga dia berdiri betul-betul di hadapan sebuah peti televisyen. Punat "buka" ditekan, punat "saluran" pula ditekan berkali-kali. Sedikit tersenyum, dia memulas tombol untuk meninggikan suara peti televisyen itu.

"Along, meh makan dulu... Mak ada bawak balik nasi dan pulut ni. Along satu, Adik satu dan mak satu". Sambil membilang-bilang bungkusan kecil makanan sebagai upah ibu menolong membungkus makanan di sebuah kedai kopi selang beberapa buah rumah dari istana kecil mereka.

Lantas Along membalas dengan pertanyaan,"Ayah mana mak?". "Ayah kan pagi-pagi dah turun dengan kawan dia. Hari ini dia pergi menukang rumah dekat kampung sebelah". Jawab si ibu lembut. "Cepat datang makan nasi ni, kejap lagi terus mandi, nanti pergi mengaji pula. Lepas mengaji nanti ayah akan pulang, hantar kita ke rumah tok ayah. Ayah su cakap ada kain baru sahaja sampai. Bolehlah mak mencanting hari ini. Untung-untung, buka sekolah nanti Along dengan adik dapat baju dan kasut baru". Sambil tersenyum tulus si ibu menyambung panjang.

Sambil Along bersiap, kedengaran suara budak-budak sudah mula bergema dari rumah sebelah, tempat Along dan kawan-kawan belajar mengaji, cara kampung. Tergopoh-gapah Along mempercepatkan sarungan baju dan seluarnya dan terus berlari ke rumah tok gurunya.

Seketika itu di rumah pula, ibu memandikan si adik. Tuala nipis berbelang dicapai ibu dan rambut adik dikesat keras. Sambil adik memuncungkan mulut, ibu mencapai tin bedak siam yang berwarna merah jambu, menepuk-nepuk ke tangan sebelum dilumurkan pada muka dan badan si adik. Disarung pula baju T lengan pendek yang kainnya jarang dan seluar jeans bertali putih di pinggang serta tercatat tulisan "Langkawi Island" di paras betis.

Sekitar jam dua belas tengah hari, kedengaran deruman enjin motor Honda c70 kepunyaan ayah di hadapan rumah. Along yang sedari tadi duduk tercongok di hadapan peti televisyen selepas pulang dari mengaji, terus menutup suis televisyen dan menerpa ke pintu hadapan mendapatkan ayahnya. Kelihatan ayahnya sedikit jengket jalannya. Terus matanya tertumpu ke kaki ayahnya. Kelihatan lebam sebesar tangan along di atas kekura kaki kanan ayahnya.

"Maknya, tolong ambilkan minyak panas, kaki abang tertimpa bata tadi." Sedikit kuat panggilan ayah. Dalam keadaan terkejut dan sedikit cemas, ibu terus mencapai sebotol kecil minyak panas yang berwarna merah dari atas para. Sambil sedikit membebel ibu kelihatan mengurut-urut betis dan buku lali ayah.

"Ha, maknya. Tadi si Man jumpa abang masa abang dekat tempat menukang. Katanya kain yang sepatutnya sampai dari bandar sudah kehabisan stok sehingga bulan depan. Kalau begitu, hari ini maknya tak usahlah pergi sana ya?". Sedikit hampa sebenarnya terlihat di wajah kedua ibu bapa itu.

"Tak apa lah, soal barang-barang budak-budak ini abang tahu macam mana hendak buat. Selepas kami siapkan rumah yang ni lagi tiga hari, abang dengar tempat memunggah ikan dekat kuala hendak pakai ramai tenaga kerja. Elok rasanya abang pergi ke sana. Dapat sepuluh dua puluh ringgit dah cukup dah". Sambung ayah lagi. Ibu hanya mampu mendongak dan membalas kenyataan ayah dengan senyuman.

Pada riak wajah kedua ibu bapa itu seakan terpampang episod-episod kepayahan dan kesulitan. Namun pancaran keredhaan pantas melitupi keperitan luka kepayahan hidup mereka. Di samping jiwa anak-anak yang terisi penuh ilmu ukhrawi, melangit harapan keduanya untuk melihat anak-anak membesar dengan jati yang gah. Pada masa itu apa yang di depan masih samar. Apa yang ada ternampak sering diperkecilkan orang. Namun, sesaat cuma kepayahan dan kedukaan dapat menghinggapi hati-hati yang tenang sebelum sekali lagi episod duka itu tertimbus dek gelak tawa hati-hati yang reda sambil menjamu selera berlaukkan singgang ikan kembung, semangkuk budu, seberkas pucuk ulam kampung dan tembikai muda.


kA: Tak semestinya kaya harta, jiwa pun kaya. Bersyukur dan redha membuat hati bertambah kaya dan bahagia kerana semuanya datang dari Yang Esa. Semua ni Dia yang punya.

Ulasan

(4)
  1. BErsyukur dan redha.. kadang kita terlupa untuk mensyukuri.. Allahuakbar.. Dan kadang kala bibir mudah melafaz redha, namun ikhlaskah di hati...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu.. orang cakap hati yang ikhlas dikatakan ikhlas apabila tidak pernah timbul perkataan ikhlas dalam setiap perbuatan..

      Padam
    2. itu yang susah untuk dilaksanakan.. masih berusaha ke arah itu...

      Padam
    3. Orang cakap lagi, perbuatan yang kita nak jadikan ikhlas tu kita mesti jadikan rutin. haa..macam makan nasik, kita tak pernah pun terlintas, betul ke ikhlas kita makan nasi ni. kan? heeee

      Padam

Catat Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.