Raya Malam

Assalamu'alaikum.

Alhamdulillah, usai sudah sebulan kita berada di dalam madrasah Ramadhan. 

Semasa aku menaip entri ini, aku berada di sebuah kedai makan di Beris di dalam daerah Bachok. Selepas isyak tadi, aku bersama Fadzil, sepupu aku pergi menghantar daun inai kepada bakal pengantin perempuannya untuk majlis esok hari. Ketika motosikal yang kami tunggangi menderum memecut keluar daripada kawasan perumahan pihak perempuan, hujan renyai menyirami bumi. Maka, kedai makan kampung ini menjadi tempat persinggahan kami untuk berteduh.

Menyahut cabaran salah seorang warga kampung bermain carrom, ditemani dengan segelas kopi o suam, kami menghabiskan masa di sini. Tadi semasa hirupan pertama, baru aku sedar sudah agak lama aku tak menikmati aroma hujan malam di kampung, diselang-seli dengan kepulan asap tembakau kampung seakan menguis kembali kenangan zaman kanakku dan remajaku di daerah ini. Zaman di mana duri berongan menjadi pelukan, ikan puyu menjadi buruan, tali air di tepi sawah di lembah ini menjadi taman permainan. Memori terimbau segarang ikan laga menilik bayang sendiri di cermin. Betapa aku merindui nostalgia suka nostalgia duka itu.

Di kedai makan yang berpelanggan tidak melebihi sepuluh orang, riuh bersahut suara peti televisyen dek perlawanan badminton. Di kedai makan yang tak seberapa fizikalnya, berjuta nilai manusiawi ini aku dapat melihat betapa utuhnya persaudaraan yang terjalin dan terjaga di kalangan warganya. Di sudut lain pandangan, terlihat seorang pemuda sedang menyuapi kakeknya mungkin yang sedang lumpuh. Datang pula seorang pemuda lain menyapa dan mencium dahi seorang nenek tua bersulam kata "Beraya dengan mak sepupu dahulu..". Betapa terkesan dengan kelembutan peribadi pemuda di daerah ini.

Hujan masih lagi membasahi bumi menghasilkan riak keharmonian tatkala menggendang atap. Nenek tua tadi yang mungkin separuh nyanyuk kelihatan sedikit bosan. Dicapai dua biji mangkuk, ditadah hujan yang berjuraian turun melalui celah atap. Leka sungguh asyik si nenek dengan ruangnya. Terlintas akan keadaan dua tiga orang nenek yang mungkin sebaya dengannya yang pernah aku jumpa di kotaraya. Tidak sepertinya, nenek yang aku jumpa di kotaraya tempoh hari terbiar. Lopak air mata seakan galak menggeletek kelopak mata mengenangkan nasib nenek-nenek yang aku jumpa itu dan mengenangkan betapa kerdilnya aku dengan batasan upaya untuk membantu.

Kopi o suam yang sampai tadi telah tinggal separuh. Hujan yang mengetuk ruangan memori masih galak menguis tetingkap mimpi. Sesekali diiringi batuk, aku menaip entri ini. Setiap daerah, setiap tingkap waktu tidak pernah bosan mencurahkan taburan cahaya pengalaman kehidupan. Sedar aku hanya hamba yang manisnya bila menurut ketentuan yang Esa. 


Ulasan

(4)
  1. Amboi, dah macam cerpen dah ditulisnya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak ada lah cikgu. Sekadar menaip tanpa haluan, berkongsi cerita dari daerah kedamaian :)

      Padam

Catat Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.