Harga Sebuah Kemaafan


Assalamualaikum. 

Dalam hidup kita takkan pernah kita bebas dari bertelingkah dah berselisih pendapat dengan sesiapa pun. Apatah lagi bergaduh sehingga terputus ukhuwwah yang sekian lama terjalin. 

Di usia muda, darah memanas. Senang untuk membuat keputusan terburu-buru. Membuat musuh cukup mudah berbanding membuat kawan. 

Begitulah juga aku. Ramai yang aku buat jadi musuh dan sempadan. Akibat salah faham dalam berkawan, tidak setuju dalam dunia pekerjaan, kata-kata dari kaum keluarga. Semuanya boleh menjadi punca. 

Mungkin aku membawa darah dari leluhur sebelah ayah aku. Keras dalam membuat keputusan tetapi lembut dalam memaafkan. Lagipun dunia ini sementara, kecil pula. 

Adapun orang yang buat aniaya ke atas aku, aku sudah memaafkan seikhlasnya. Sumpah atas nama Yang Maha Esa Yang Maha Kuasa. 

Di waktu kemarahan membara. Segala hal ibarat minyak tanah yang menambah sengsara. Namun bila difikirkan, berbaloikah ukhuwwah terbina menjadi binasa. Takut untuk bersua muka, takut untuk bertegur sapa, takut untuk beramah mesra. Sungguh semuanya hanyalah rugi yang nyata. 

Ramai kawan-kawan terkejut bila aku kembali bertegur-sapa dengan orang yang sebelumnya pernah menjadi pantang dalam hidup. Hidup berkeluarga mengajar aku betapa pentingnya kemaafan dan aku dapat merasakan ketenangan yang tidak boleh digambarkan. Semuanya terbit dari hati yang memaafkan.

Ya. Aku sesungguhnya telah memaafkan semua orang yang pernah berbuat khilaf ke atasku dan aku memohon kemaafan sejujurnya atas kekhilafanku. 

Sungguh aku berdosa. Moga Allah ampuni kita semua. 

Write a comment