Cari Blog Ini

19 Disember 2017

Khayla O Khayla

Malam ni adalah salah satu dari malam-malam yang paling kami tak suka, malam Noor ‘Ain kena kerja malam. Macam biasa sebelum ke ward, Noor ‘Ain sempat menyiapkan makan malam dan juga bekal untuk dibawa Khayla ke rumah Ummi dia, pengasuh.

Pukul lapan lebih macam tu Noor ‘Ain dah siap bertudung dan menyusun barang-barang yang perlu dibawa ke ward. Baju kerja yang disangkut di hanger di dinding dicapai dan digalas juga untuk dibawa. Tak lupa kucupan sayang sempat lagi singgah di wajah kami sebelum dia mengunci pintu. Khayla dalam tak faham pun turut sama melambai dan melayangkan flying kiss.

Tengah si Khayla asyik menyusun blok plastik. Aku siapkan makanan aku dan dia. Noor ‘Ain masak pasta malam ni, sosnya pula tomato dan cendawan. Memang kesukaan Khayla. Sambil dia main, sambil itu pasta aku suapkan. Budak-budak, mana nak statiknya duduk kalau dah tengah bermain... nan hado!

Maka, terbongkok-bongkok la aku mengekor tapak-tapak kecil Khayla. Dari kawasan permainan ke depan meja televisyen. Membawa bersandar di sofa.

Aduh! Ternampak pula telefon. Mintak ditekan aplikasi kegemaran, Youtube for Kids. Bagi peluang sementara aku suap pasta ni sampai habis. Entah kenapa malam ni banyak pula dia makan. Pasta menggunung yang aku isi sepinggan untuk aku kongsi dengan dia, hampir separuh dia habiskan. Bebola daging, hampir dua biji.

Tersandar.

Aku tinggalkan Khayla leka dalam keadaan comot sementara pinggan mangkuk aku kasi selesai. Lepas tu barulah aku datang balik ke ruang tamu, Khayla aku gendong ke bilik air. Muka sampai ke leher membawa ke rambut. Lengan habis ke pangkal. Belum masuk badan. Habis semuanya merah terkena sos tomato. TER pun tak jugak sebab memang dia suka lumur makanan di badan. Ya, itulah anak dara kami.

Dah satu badan kena basuh balik. Nak basuh badan satu hal. Tak hendaknya dia statik. Air dalam baldi habis terpercik dek tepukan tapak tangan kecil Khayla sambil mengekek gelak.

Masa mengelap adalah antara masa dia paling suka jugak sekarang ni. Dia suka berselubung dengan tuala dan mengelap sendiri. Tapi macam selalunya. Tak pernah nak elok lapnya. Sudahnya kena gomol dengan ayahnya juga baru habis kena lap. Masa pakai lampin adalah masa paling dia tak suka. Nampak saja kami pegang lampin, sekeliling rumah di berlari! Ligat.

Khayla aku biarkan kat ruang tamu sambil bermain sendiri. Aku ke bilik air sekejap. Keluar dari bilik air aku nampak Khayla dah layu. Mengantuk sangat, mesti banyak main dekat rumah pengasuh.

Apabila aku masuk dapur untuk buatkan susu dia, aku datang balik tengok dah lelap. Aku cuba jugak kejutkan untuk suap susu. Langsung tak sedar. Diangkat masuk dalam bilik pun langsung tak sedar.

Tak apalah, kalau dia sedar nanti baru disuap. Ragam anak bagi yang dikurniakan rezeki anak, penyeri rumahtangga. Dulu kami ada saja masa terluang. Sekarang? Zero!

Semoga kamu membesar dengan sejahtera wahai anak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.