Estet Ikan; Chenor, Pahang

Assalamu'alaikum,

Lama sungguh kiranya aku tidak menaip apa-apa entri baru di Blochue ini. Aku perasan semenjak aku banyak menulis entri dalam Bahasa Inggeris, viewers turun hampir separuh dan dicampur pula dengan kekurangan masa untuk aku menyuntik entri-entri baru ke dalam Blochue menjadi faktor juga. Maaf kepada mereka yang menganggap aku tidak serius dalam berblog ini.

Kesibukan kerja memaksa aku untuk menyediakan segala panca indera dalam mode 'stand by' dua puluh empat jam sehari, tujuh hari seminggu. Namun pun begitu, aku tetap meluangkan masa untuk hobi aku yang satu lagi iaitu memancing. Seminggu sekali menjauhkan diri daripada hiruk pikuk kotaraya ternyata sedikit sebanyak mampu mengurai kekusutan minda dek kerja-kerja yang menjerut. Sesekali membiarkan telinga dibelai bunyi reriang desa mampu menyentap keserabutan pergi.

Kali ini, aku dan Acad ke daerah Chenor di dalam negeri tulang belakang semenanjung Tanah Melayu ini, Pahang. Menempuhi perjalanan selama sejam dari Temerloh dan melintasi jambatan Sungai Jengka, sekitar 250 meter ke hadapan, kita akan menemui sign board usang yang tertulis Estet Ikan. Melihat kepada sign board yang gah, aku dapat meneka yang tempat ini pernah menjadi tempat beriadah yang popular suatu masa dulu, lebih-lebih lagi untuk para kaki pancing.

Walaupun casting dengan anak katak, hasil agak lumayan.
 Terkenal dengan lubuk Toman yang ganas-ganas belaka, Estet Ikan ini sememangnya menjadi tempat kegilaan para kaki pancing terutama kepada 'anglers' atau kaki pancing gaya 'casting'. Untuk mereka yang mempunyai bot sendiri, sangat digalakkan untuk membawanya. Ini kerana Toman selalu menyambar di tengah di antara menara-menara pencawang elektrik grid. Kepada mereka yang tidak mempunyia bot sendiri, usah dikhuatiri kerana anda dapat menyewa bot gentian kaca beserta enjin 5 kuasa kuda daripada salah seorang penduduk tempatan. Salah seorang pemunya bot sewa tinggal berhampiran dengan jambatan Sungai Jengka. Jika anda sampai ke Estet Ikan daripada Temerloh atau Bandar Pusat Jengka, lorong ke rumah saudara kita itu betul-betul di sebelah kiri selepas jambatan tersebut. Ditandai dengan hanya peti surat kecil bertulisan '100 MR' dan dengan jalan lama bertanah merah, masuk sahaja jalan itu sehingga berjumpa rumah papan tanpa cat dengan kucing yang banyak. Usah risau, walaupun di zaman hitam putih, anda pasti dapat menjumpai rumah itu kerana hanya keluarga itu yang tinggal di lorong tersebut. Harga sewa untuk bot dengan enjin dan petrol disediakan cuma RM 25.

Jika ada di antara anda yang ingin memburu Toman di sana, pastikan anda sampai awal pagi ataupun petang
Pemilik sebenar Toman, Acad
menghampiri senja. Ini kerana Toman di sana agak 'galak' memburu makanan pada dua masa tersebut. Umpan yang agak berkesan untuk casting adalah rapala a.k.a. gewang. Namun adakalanya umpan katak juga akan disambar. Jika anda lebih suka kepada memancing tenggelam, anak keli yang lebar sebesar ibu jari kaki sangatlah sesuai untuk digunakan. Semasa lawatan aku ke sana, aku berkesempatan berjumpa dan berbual dengan seorang taukeh kedai alatan memancing dari Temerloh. Katanya Toman di sini masih lagi 'tak cerdik' berbanding tempat lain seperti di Tasik Kenyir dan Bera yang mana katanya di tempat-tempat tersebut, 'Tomannya sudah masuk universiti, tak mahunya makan rapala'.

Kepada yang meminati sukan memancing, saya mencadangkan anda meletakkan Estet Ikan di daerah Chenor ini sebagai salah satu tempat pemburuan anda.  

kA: Toman yang berjaya didaratkan, Acad telah masak lemak cili api untuk santapan pada malam hari tersebut. Ditambah pula dengan sambal tempoyak dan telur dadar, memang hidangan yang ringkas namun mengiurkan. Anda sebagai blogger pula apakah hobi anda selain berblog? Wassalam :)

Ulasan

(2)
  1. mak aih..bapak toman =) terbaik la bro..menu sdpa tu.. sies jelez..ambe pergi kenyir thun lpas..hbis umpan dah guna..sekor toman pn xdpat..dpt tgok gelagat ikan je..geram pn ada..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang ganas bro Faiz Toman kat sana. Kenyir toman dah cerdik dah, rapala memang susah jugak nak naikkan toman dekat sana.

      Padam

Catat Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.